GEJALA membuang bayi di negara ini, sama ada dilakukan ke atas mereka yang telah mati atau masih hidup kelihatan seperti tiada kesudahan. Saban hari, kita akan melihat di dada akhbar atau kaca televisyen gambar-gambar mayat bayi yang menyayat hati kerana dihurungi lalat, terbakar atau terapung di dalam longkang.
Perbuatan yang dilakukan oleh ibu atau bapa mereka itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal kerana semua orang tahu yang sehinggakan haiwan juga sayangkan anak mereka, inikan pula manusia.
Itu cerita mereka yang membuang bayi tetapi ada juga daripada kita yang tidak sampai ke tahap tersebut tetapi juga boleh disifatkan sebagai 'kurang ajar' kerana mendera anak comel tersebut.
Tetapi sebenarnya ada ibu bapa atau penjaga yang sememangnya secara sengaja menganiaya tubuh kecil tersebut kerana panas baran tetapi ada juga 'mendera' anak kerana kedangkalan ilmu keibubapaan.
Sehubungan itu, penyelidik dari sebuah universiti Jepun telah membangunkan robot bayi bernama Yotaro yang mempunyai kemampuan menangis, merengek dan juga ketawa seperti bayi sebenar!
Robot bayi atau dikenali juga sebagai 'baby-bot' yang comel itu mempunyai sepasang mata biru yang bersinar dan pipi yang lebar.
"Yotara merupakan robot yang membolehkan anda untuk mendapat pengalaman seperti menyentuh bayi sebenar yang kemudiannya memberikan respons berbentuk perasaan tertentu," kata Hiroki Kunimura, dari makmal sains kelakuan dan robotik dari Tsukuba University di Tokyo.
Muka Yotaro diperbuat daripada silikon lut cahaya lembut bewarna kemerah-merahan dan disambungkan kepada komputer untuk membuat simulasi menangis, bersin, tidur, senyum dan ketawa mengekek yang boleh didengar melalui speaker.
Bayi itu akan memberikan reaksi muka yang berbeza dengan pergerakan kaki dan tangan apabila mana-mana bahagian muka atau badannya disentuh. Sentuhan itu dikesan melalui sensor yang dipasang dan perasaan Yotaro akan berubah mengikut tahap dan kekerapan sentuhan itu.
Bagaimanapun, berhati-hati! Jika anda lupa menyelimutkan bayi ini dan membiarkan ia dalam keadaan kesejukan, hidung Yotaro akan berhingus. Ia dihasilkan apabila sejenis pam akan mengalirkan titisan air melalui lubang hidung bayi itu.
"Bayi dengan kepala bersaiz belon ini boleh juga menghasilkan ekspreasi muka berlainan yang sudah tentu mampu memberi idea kepada ibu bapa baru," kata Masatada Muramoto, salah seorang ahli penyelidik.
Jepun sememangnya telah terkenal dalam pembangunan pelbagai jenis robot berupa manusia atau humanoid seperti robot Asimo dari Honda yang boleh melakukan pelbagai tugasan seperti manusia.
Malahan kini terdapat ribuan robot humanoid telah digunakan di dalam industri seperti menjadi penyambut tetamu, penghidang minuman, mencuci lantai dan juga robot cantik seperti supermodel HRP-4C.
Sebenarnya, robot kanak-kanak yang pertama juga telah diperkenalkan oleh penyelidik dari Jepun tahun lepas dikenali sebagai CB2. Kanak-kanak robot ini mempunyai badan 'biomimetic' yang dicipta boleh berinteraksi dengan manusia seperti perhubungan ibu dan anak.
Pasukan penyelidikan yang membangunkan robot itu dilengkapi oleh pakar-pakar berkaitan seperti jurutera robotik, pakar otak, ahli psikologi dan lain-lain pakar.
Ia bertujuan untuk menghasilkan robot bayi yang mampu berfikir dan memberikan ekspreasi wajah termasuk bersedih dan gembira. Robot ini mempunyai ketinggian 130 sentimeter (sm) dan berat 33 kilogram (kg) dengan kemampuan mengesan tekanan atau sentuhan melalui 197 sensor yang diletak di bawah kulit yang diperbuat daripada silikon.
Selain itu, CB2 juga telah mampu belajar berjalan perlahan-lahan dengan dibantu 51 'otot' pneumatik di sekeliling bilik dengan dibantu oleh manusia.
Dalam masa dua tahun, penyelidik berharap robot itu mampu dipertingkat tahap kepintarannya dengan kemampuan bertutur bahasa asas seperti kanak-kanak berumur dua tahun.
Selain itu, minggu lepas, University of Osaka juga telah memperkenalkan robot yang meniru gaya bayi merangkak sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan mengkaji bagaimana manusia mendapat kemahiran bergerak dan bertutur.
Pembangunan
Robot M3-neony yang seberat 3.5 kilogram dan tinggi 50 sentimeter itu mempunyai badan yang menyerupai bayi baru lahir. Ia dilengkapi dengan 22 motor, 90 sensor sentuhan dan mikrofon yang diletak berhampiran mata dan telinga.
Yotaro dan M3-neony merupakan satu revolusi dalam pembangunan bidang robotik di negara matahari terbit itu yang sedang berusaha membangunkan lebih banyak humanoid yang mampu menggantikan pekerja asing melakukan kerja-kerja seperti menjaga golongan tua.
Sementara itu, penyelidik dari University of California, San Francisco, Amerika Syarikat juga telah membangunkan robot bayi yang mampu meniru perbuatan seperti bayi berumur satu tahun.
Bayi robot yang dinamakan Diego-San itu dilengkapi dengan kamera beresolusi tinggi dan pencepat 6-axis. Kemampuannya terhad kepada hanya berdiri dan memegang botol tetapi mampu melahirkan 20 jenis emosi di mukanya. Tetapi apa yang kurang menarik ialah saiz kepalanya yang sangat besar.
Begitulah iltizam para saintis di seluruh dunia yang begitu ingin 'melahirkan' bayi-bayi yang boleh dipeluk dan dibelai oleh manusia walaupun mereka menyedari ia hanyalah sebuah mesin.
Bagaimanapun, di masa yang sama masih ada segelintir manusia di muka bumi ini yang sanggup berkelakuan lebih buruk daripada haiwan dengan membuang bayi-bayi mereka atas pelbagai alasan yang hanya mereka yang mengetahui.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment