PADA suatu hari, selepas menunaikan sembahyang, Rasulullah didatangi seorang wanita yang bernama Ghamidiyah. Rasulullah pun bertanya tujuan wanita itu datang menemuinya.
"Apakah tujuan kamu menemuiku?" soal Rasulullah.
"Wahai Rasulullah, aku telah berzina. Oleh itu rejamlah aku," jawab Ghamidiyah.
Mendengarkan jawapan itu, Rasulullah memalingkan mukanya dari pandangan Ghamidiyah.
Ghamidiyah pun mendepani Rasulullah dan berkata: "Aku telah melakukan zina, wahai Rasulullah. Hukumlah aku mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah kepada penzina sepertiku ini," kata Ghamidiyah.
Selepas Rasulullah berpaling sebanyak tiga kali, akhirnya baginda pun bertanya, "Sudah sampai ke tahap mana engkau berzina?"
"Sudah berzina, ya Rasulullah," jawab Ghamidiyah.
"Adakah kamu bercium dan berpelukan?" soal Rasulullah.
"Sudah berzina, ya Rasulullah. Hubungan kami sudah seperti hubungan suami isteri, dan sekarang aku sedang mengandung anak hasil daripada perbuatan zinaku. Hukumlah aku, wahai Rasulullah. Hukumlah aku mengikut hukum Allah, agar aku terlepas daripada hukuman Allah di akhirat kelak. Aku pohon agar dikenakan hukuman rejam ke atasku," kata Ghamidiyah lagi.
"Kau pulanglah dulu. Tunggu sehingga anak di dalam kandunganmu itu dilahirkan. Apabila engkau telah bersalin, barulah engkau datang menemuiku," nasihat Rasulullah.
Apabila telah cukup sembilan bulan 10 hari, maka lahirlah anak yang dikandung oleh Ghamidiyah. Sebaik sahaja sihat dan mampu berdiri, Ghamidiyah pun pergi menemui Rasulullah. Dia mengendong bayinya di dalam sehelai kain dan dibawa bersama.
"Wahai Rasulullah, aku sudah melahirkan anak ini. Sekarang, aku sudah bersedia untuk dihukum. Jalankan hukumanmu ke atas ku," kata Ghamidiyah.
Rasulullah memandang ke arah Ghamidiyah dan bayi di dalam dukungannya silih berganti. Kemudian baginda menjawab, "Kau pulanglah dahulu. Apabila bayi ini sudah mampu makan dengan menggunakan tangannya sendiri, barulah engkau datang menemuiku semula".
Ghamidiyah pun akur. Dia pulang kembali ke rumah. Bayi yang dilahirkan itu dipelihara dengan penuh kasih sayang sehingga bayi itu besar. Akhirnya dia sudah mampu makan dengan tangannya sendiri. Ghamidiyah pun pergi menemui Rasulullah buat kali yang ketiga, membawa bersama anaknya. Di tangan anak itu terdapat sekeping roti yang sesekali digigit dan dimamahnya.
"Wahai Rasulullah, lihatlah! Anakku ini sudah boleh makan dengan tangannya sendiri. Sekarang aku pohon kepadamu, hukumlah aku agar aku kembali suci untuk mengadap Allah yang maha Esa nanti," kata Ghamidiyah.
"Kau carikan sebuah keluarga yang rela menjaga anakmu ini apabila engkau sudah tiada kelak," kata Rasulullah.
Ghamidiyah pun mencarikan keluarga angkat untuk anaknya itu. Apabila telah ada orang yang sudi memeliharanya, maka Ghamidiyah pun menyerahkan anaknya itu. Kemudian dia kembali menghadap Rasulullah.
"Aku sudah selesaikan hal yang engkau perintahkan kepadaku. Sekarang, bolehlah aku dihukum," kata Ghamidiyah.
"Baiklah," kata Rasulullah.
Ghamidiyah pun dibawa ke tempat hukuman. Dia diikat di sebatang kayu. Orang ramai dikumpulkan di sekelilingnya. Akhirnya Rasulullah pun mengarahkan agar Ghamidiyah direjam.
Semua orang mencapai anak batu lalu dilontarkan ke arah wanita itu. Seorang sahabat Rasulullah mengambil sebiji batu yang besar lalu melontar ke arah Ghamidiyah sambil mencelanya.
"Janganlah engkau menghina dan mencerca Ghamidiyah. Sesungguhnya taubatnya itu diterima Allah. Sekiranya hendak dibandingkan taubatnya dengan taubat yang lain, taubat ini adalah lebih besar dari Gunung Uhud," kata Rasulullah.
Maka Ghamidiyah pun meninggal dunia akibat direjam.
p/s: renung- renungkan kes Kartika...
by,
No comments:
Post a Comment